Wednesday 15 October 2014

ARTIKEL BUDAYA KEUSAHAWANAN

Usaha melahirkan usahawan yang berjaya bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia memerlukan komitmen, dedikasi, ketegasan, dan amalan yang berterusan ke arah mempraktikkan roh keusahawanan dalam setiap urusan harian. Hal ini dikatakan sebagai pembudayaan keusahawanan. Budaya keusahawanan individu boleh diasuh dan dididik sehingga ia melekat seperti “aur dengan tebing”. (Kamarulzaman Ismail, Amaludin Ab. Rahman, 2009). Maka pembudayaan keusahawanan perlu dipupuk dan dimantapkan dalam jiwa belia supaya generasi ini akan dapat menggerakkan usaha ke arah mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

Bidang keusahawanan merupakan satu bidang yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Masalah yang ingin dikaji ialah pemantapan budaya keusahawanan di kalangan belia. Budaya keusahawanan adalah ekspresi sikap sosial yang positif terhadap perniagaan dan perlu disemai untuk memperkuat proses pembangunan insan dalam sektor perniagaan dan perusahaan.


Strategi Memantapkan Budaya Keusahawanan Di Masyarakat

Ø  Memberi pendedahan awal ilmu keusahawanan dan perniagaan kepada masyarakat bermula pada alam persekolahan
Ø  Menganjurkan program-program keusahawanan siswa untuk dimanfaat oleh siswa
Ø  Menyediakan bantuan kewangan dan kemudahan asas kepada usahawan terutamanya usahawan belia
Ø  Menyediakan kemudahan pinjaman jangka panjang dan jangka pendek kepada usahawan belia yang berkelayakan
Ø  Menggalakkan belia menghadiri kursus pengurusan kewangan dan perniagaan 
Ø  Menggalakkan interaksi antara kaum terutamanya usahawan belia tentang kemahiran menguruskan perniagaan
Ø  Menggiatkan kempen kesedaran tentang isu-isu keusahawanan dan pembangunan keusahawanan
Ø  Memperbanyakkan program pembangunan keusahawanan
Ø  Meningkatkan penawaran kursus-kursus keusahawanan
Ø  Meningkatkan jaringan dan kerjasama dengan badan yang berkepentingan yang boleh menyokong minat belia menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan

Secara keseluruhannya, bidang keusahawanan merupakan bidang yang sangat penting dalam memastikan pembangunan sesebuah negara. Sejarah telah membuktikan bahawa negara yang mempunyai ramai usahawan adalah lebih maju ke hadapan dalam perkembangan ekonominya. Maju dan mundur ekonomi sesebuah negara adalah bergantung usahawan yang dinamis dan berpandangan jauh. Maka kerajaan telah mengambil inisiatif menubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan pada tahun 1995 sebagai badan yang menguruskan pembangunan usahawan. Pembudayaan keusahawanan adalah merupakan aspek penting dalam pembangunan usahawan.

Budaya keusahawanan ialah sifat-sifat positif yang dimiliki oleh seseorang individu seperti tabah, cekal dan sentiasa bersemangat. Sifat-sifat keusahawanan juga boleh menjadi modal dan aset untuk berniaga dan boleh meyakinkan orang lain. Budaya keusahawanan perlu dipupuk bermula daripada peringkat sekolah melalui program-program keusahawanan yang dijalankan oleh pelajar dan dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman. Budaya ini juga perlu dipupuk pada peringkat IPT dengan menawarkan kursus, program, seminar, atau aktiviti kepada mahasiswa supaya dapat memupuk minat dan mendorong mereka untuk menceburi bidang keusahawanan. Pembudayaan ini penting dan perlu disemai di kalangan belia terutamanya golongan Bumiputera supaya mereka tidak boleh mengharapkan bekerja di sektor kerajaan dan bantuan kerajaan semata-mata. Mereka perlulah lebih berdikari untuk menceburi bidang lain seperti bidang perniagaan ataupun keusahawanan.

Pembudayaan keusahawanan akan melahirkan usahawan yang kreatif dalam mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan yang dihadapi. Oleh itu, usahawan perlu sensitif dan sedia bertanggungjawab terhadap kesan yang akan diterima oleh masyarakat akibat daripada kegiatan keusahawanan yang dijalankan. Di samping itu, melalui pembudayaan keusahawanan akan membolehkan usahawan mengemblengkan serta memanfaatkan potensi, reputasi dan sumber-sumber yang ada untuk manfaat diri sendiri, perniagaan, pelanggan dan juga masyarakat keseluruhannya.


No comments:

Post a Comment