Wednesday 15 October 2014

Motivasi menceburi bidang keusahawanan


Seseorang usahawan yang menceburi bidang keusahawanan bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah tetapi bukan juga sesuatu yang tidak mungkin boleh dicapai.Segalanya, memerlukan suatu pengorbanan dan penggabungan pelbagai kekuatan yang dimiliki dalam usaha untuk memenuhi tujuan penyertaan mereka dalam dunia keusahawanan

Terdapat beberapa faktor yang telah mendorong seseorang itu untuk menjadi usahawan termasuklah aspek latar belakang individu tersebut (seperti keluarga, bangsa, pendidikan, pengalaman bekerja), motivasi dan aspek psikologi individu serta faktor persekitaran.

Tahap kejayaan bagi seseorang usahawan mempunyai hubungan dengan tahap pendidikan mereka. Usahawan lepasan kolej yang mempunyai ijazah merupakan golongan yang tertinggi berjaya sebagai seorang usahawan. Semakin tinggi tahap pendidikan seseorang usahawan, maka motivasi mereka untuk menjadi usahawan adalah semakin tinggi. Hal ini disebabkan, pada masa kini banyak kolej dan university yang menawarkan subjek dan kursus yang berkaitan dengan keusahawanan dan perniagaan kecil. Dengan mengambil tindakan dan meningkatkan kesedaran ke atas cara bagaimana perniagaan kecil beroperasi, maka bilangan pelajar yang memilih untuk bekerja sendiri sebagai kerjaya mereka semakin meningkat dan memberi satu hala tuju yang cerah bagi seseorang individu untuk menceburi dalam bidang keusahawanan.

Seterusnya, latar belakang keluarga juga mempengaruhi dan memotivasikan seseorang individu untuk menjadi seseorang usahawan yang berjaya. Faktor-faktor yang dimaksudkan di sini adalah susunan kelahiran ,pekerjaan bapa dan hubungan dengan ibu bapa. Daripada segi susunan kelahiran, anak sulong dalam keluarga biasanya diberikan perhatian yang lebih. Dengan demikian, melalui perhatian yang lebih di zaman kanak-kanak, individu menjadi lebih yakin terhadap dirinya sendiri. Hal ini akan memotivasikan seseorang individu menceburi dalam bidang keusahawanan. Walau bagaimanapun, melalui kajian yang telah dijalankan oleh Hisrich dan Brush ke atas usahawan lelaki dan perempuan mendapati bahawa faktor susunan kelahiran kurang memberikan kesan kepada keusahawanan. Tambahan pula, seseorang individu yang miskin, ataupun latar belakangnya merupakan dari keluarga yang kurang berpendapatan, akan memotivasikan serta mendesak seseorang itu menceburi dalam bidang keusahawanan.

Tanggungjawab terhadap keluarga merupakan satu faktor sosiologi yang kritikal dalam mempengaruhi usahawanan terutama dalam pembuatan keputusan untuk memulakan sesuatu perniagaan baru. Pembuatan keputusan untuk memulakan perniagaan adalah lebih mudah apabila seseorang itu bujang, berumur 25 tahun, tidak memiliki aset perseorangan dan tidak bergantung terhadap orang lain. Sebaliknya, keputusan memulakan perniagaan adalah lebih sukar bagi seseorang yang sudah berkahwin, berumur 45 tahun, mempunyai anak muda yang bersedia untuk memasuki kolej, diikat dengan cagaran tertentu, bayaran kereta dan mempunyai pekerjaan yang stabil dan upahnya yang tinggi.

.

No comments:

Post a Comment